Syeikh Abd Qadir Jailani berpendapat bahawa manusia terbahagi kepada 4 bahagian:-
(1) Manusia yang tidak mempunyai ucapan dan hati, mereka ini sangat suka berbuat maksiat, menipu serta tolol. Mereka ini harus kita berhati-hati, janganlah bergaul dengannya, kerana mereka adalah orang-orang yang bakal diseksa.
(2) Manusia yang mempunyai lidah namun tidak mempunyai hati. Manusia ini perkataannya penuh berisi hikmah dan ilmu akan tetapi tidak mengamalkannya, ia mengajak manusia supaya taat kepada Allah, akan tetapi ia sendiri mengingkarinya. Manusia seperti ini hendaklah dijauhi supaya kita tidak terpedaya oleh ucapan lidahnya sehingga tidak ikut serta untuk berbuat maksiat dan tidak terkena bau busuk hatinya.
(3) Manusia yang mempunyai hati, akan tetapi tidak mempunyai lidah. Mereka ini adalah orang Mukmin yang dirahsiakan Allah dari pengetahuan makhlukNya, Allah memelihara aib dirinya, hatinya mendapat pancaran cahaya Illahi, sehingga ia tahu bahaya atau akibat bergaul dengan sesama manusia yang mempunyai ucapan yang kotor. Mereka ini adalah termasuk golongan wali-wali Allah, yang sentiasa dipelihara dalam lindungan Allah SWT serta memiliki segala kebaikan. Maka bergaullah dengan mereka, nescaya kamu akan dicintai oleh Allah SWT.
(4) Manusia yang belajar, mengajar dan mengamalkan ilmunya. Mereka ini adalah orang mempunyai pengetahuan tentang Allah SWT serta ayat-ayatNya. Allah menganugerahkan ilmu-ilmu yang luar biasa kepadanya dan Allah memberikan kelapangan dadanya untuk menerima ilmu-ilmu itu. Terhadap manusia ini, hendaklah kamu takut berbuat salah dengannya, menjauhinya dan menerima nasihat-nasihat yang diberikannya.
Dimana kita ? golongan yang mana ? Tepuk dada tanya iman kita.....